KUCHING: Sarawak harus menjadi contoh dalam pengurusan negeri kepada negeri-negeri lain lain di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana Sarawak berada di hadapan dalam banyak perkara.
Buktinya katanya, cadangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik sendiri sangat dialu-alukan dan Kerajaan Pusat pada dasarnya bersetuju.
“Kerajaan Pusat setuju cadangan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik sendiri. Perkara ini akan dibincang pada mesyuarat Kabinet di Putrajaya Rabu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Raia Hotel dan Pusat Konvensyen serta Majlis Berbuka Puasa bersama asnaf dan anak-anak yatim di sini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir sama. Yang turut hadir, Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta menteri-menteri kabinet negeri.
Perdana Menteri berkata, Sarawak mendepani dalam banyak hal seperti hidrogen, gas dan lain-lain.
“Pengurusan Sarawak harus dijadikan contoh,"katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata, beliau menyatakan hasrat itu kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan kelulusan menubuhkan syarikat tersebut.
“Ia penting bagi menangani kos tiket penerbangan tinggi antara Semenanjung ke Sarawak dan Sabah,” katanya.
Untuk rekod, Abang Johari mengumumkan menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik di bawah Hornbill Skyways untuk memudahkan membawa terus pelancong asing ke Sarawak.
Sumber dari : Jiwa Bakti